'URF DAN ADAT
: ‘Urf merupakan salah satu sumber penting untuk mengeluarkan hukum
syarak walaupun ada di kalangan para ulama yang tidak mengiktirafkannya
sebagai salah satu sumber yang muktabar. Namun begitu, para ulama yang
mengiktirafkannya melihat ia sebagai salah satu sumber yang amat penting
terutama dalam permasalahan yang berkaitan dengan hubungan antara
sesama makhluk dan dalam beberapa aspek lain juga tidak dapat di
nafikan, kerana di sana ada persoalan yang tidak dapat di selesaikan
dengan menggunakan sumber-sumber yang disepakati iaitu al-Quran,
Al-Sunnah, ijmak dan qiyas.
Oleh itu, perbincangan yang akan dikemukakan dan akan memperjelaskan
keadaan sebenar ‘urf sebagai salah satu sumber perundangan yang tidak
disepakati ini akan diterangkan dalam perbincangan di bawah dengan
sekadarnya.
Definisi ‘urf dari segi bahasa:
Takrifan al-‘urf dari sudut bahasa arab ialah ma'rifah (pengetahuan) dan
maksudnya disesuaikan kepada sesuatu yang ma'ruf dan sikap yang
dianggap baik oleh akal yang sejahtera. Al-Quran telah menggunakan
al-‘urf dengan pengertian sesuatu yang ma’ruf seperti firman Allah swt:
خُذِ الْعَفْوَ وَأْمُرْ بِالْعُرْفِ وَأَعْرِضْ عَنِ الْجَاهِلِينَ
Maksudnya:
“Terimalah apa Yang mudah Engkau lakukan, dan suruhlah Dengan perkara
Yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang Yang jahil
(yang degil Dengan kejahilannya).” (al-Quran, al-A’raaf, 7:199)
Definisi ‘urf dari segi istilah syarak;
Para ulama mempunyai pelbagai takrifan mengenai ‘urf dari segi istilah,
antara takrif tersebut ialah seperti yang dinukil oleh Haji Muhammad
Saleh B. Haji Ahmad dalam kitabnya daripada kitab ulama-ulama yang
terkenal antaranya ialah;
Mengikut Abu Sunnah, ‘urf adalah “setiap yang tetap dalam diri dari
sudut pandangan akal dan diterima oleh tabiat yang baik”. Jurjani pula
mentakrifkan ‘urf sebagai “setiap yang tetap dalam diri dengan
disaksikan oleh akal dan diterima oleh tabiat yang baik.” Dan Sayyid
Salih Awad mentakrifkan ‘urf itu sebagai “setiap yang tetap dalam diri,
dipandang elok oleh akal, diterima oleh tabiat yang baik dan sentiasa
dilakukan oleh manusia serta tidak ditolak oleh syarak”. Menurut Mustafa
Ahmad al-Zarqa’ ‘urf itu sebagai adat orang ramai atau majoriti sesuatu
kaum pada perkataan atau amalan.
Abdul Karim Zaidan mentakrifkan ‘urf sebagai “setiap (perkataan dan
perbuatan) yang biasa dalam masyarakat akan menjadi adat serta menjadi
ikutan dalam kehidupan.” (Abdul Karim Zaidan 2004: 201). ’Urf juga
ditakrifkan sebagai perkara yang tetap di dalam diri manusia dari segi
akal fikiran dan diterima baik oleh tabiat yang sejahtera
Maka bagi rumusan takrif daripada pendapat para ulama, penulis
mengemukakan pendapat yang dikeluarkan oleh Imam al-Ghazali yang dinukil
oleh Haji Muhammad Saleh B. Haji Ahmad dalam kitab beliau iaitu
“sesuatu yang telah mantap di dalam jiwa manusia dari segi akal fikiran
dan diterima oleh tabiat sejahtera. Atau juga ’urf itu sesuatu yang
menjadi tabiat manusia yang mempunyai tabiat-tabiat yang sejahtera lahir
dari penghuni sesebuah negeri Islam dengan syarat ia tidak berlawanan
dengan syarak”.)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar